Rezal Zambery Yahya Dilantik Penolong Jurulatih Kelantan Darul Naim
MakanBola
KDN FC

Menjelang musim baru Liga Super musim 2024-2025, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) mengumumkan Rezal Zambery Yahya sebagai penolong ketua jurulatih pasukan itu.

Perkara ini diumumkan pengurusan Kijang Emas menerusi satu hantaran di platform media sosial rasmi mereka hari ini.

“Barisan pegawai dan kejurulatihan Kelantan Darul Naim FC (termasuk Rezal Zambery Yahya) menandatangani kontrak musim 2024/25 disaksikan Presiden, YB Rozi Muhamad di Pejabat Urusan Kelab di Bangunan Astaka Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, petang tadi.

“Selamat datang dan selamat berkhidmat untuk Sang Kijang Emas. Musim ini, kita usahakan yang terbaik agar mampu memberi cabaran kepada kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M) yang lain,” kata pengurusan KDN FC dalam satu kenyataan.

Rezal sebelum ini menggalas peranan sebagai Pengarah Pembangunan Akar Umbi KDN FC semasa pasukan itu dikenali sebagai Kelantan United FC.

Selain Rezal, pengurusan Kijang Emas turut mengumumkan perlantikan Ashadi Mohd Yusof sebagai penolong jurulatih dan Abdul Rahman Baba sebagai jurulatih penjaga gol.

Identiti jurulatih baru yang bakal mengisi kerusi panas KDN FC dijangka diketahui tidak lama lagi.

Pada musim 2023, pasukan itu menggunakan khidmat jurulatih Republik Czech, Tomas Trucha sebelum membawa masuk jurulatih Brazil, Ailton Silva.