Pertahanan kental kelahiran England, Richard Chin berisiko tiada dalam senarai pemain warisan baharu Harimau Malaya.
DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor memaklumkan mengenai usaha untuk mencari pemain warisan buat skuad kebangsaan.
“Kami telah mengenal pasti 6-7 pemain warisan untuk pasukan Harimau Malaya. Diharapkan kerajaan Malaysia dapat membantu dalam proses mendapatkan pasport Malaysia.
“Ini agar mereka dapat bermain untuk Harimau Malaya pada kelayakan Piala Asia 2027 mulai bulan Mac ini. Mustahak Harimau Malaya memulakan kempen kelayakan dengan keputusan yang positif,” ujar DYAM Tunku Ismail di laman X.
Baginda turut memberi bayangan bahawa pemain yang dikenal pasti itu tidak berasal dari England iaitu tempat kelahiran Richard Chin yang turut beraksi di sana ketika ini.
“Kebanyakannya bermain di liga teratas Eropah. Tiada pemain dari England. Kebanyakannya dari Eropah selatan,” tambah penjelasan Baginda.
Bekas pemain Charlton ini kini beraksi buat Farnborough di England, melakukan 21 penampilan selain merekodkan 10 penglibatan jaringan musim ini.
Ujian pertama skuad kebangsaan tahun 2025 adalah aksi Kelayakan Piala Asia 2027 yang bakal bermula pada 25 Mac ini.