Media di Vietnam sudah mula membicarakan mengenai berita pemain warisan yang bakal memperkuat Harimau Malaya.
Terdahulu, DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor telah mengumumkan terdapat 7 orang pemain warisan yang miliki peluang untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya nanti.
“Kami telah mengenal pasti 6-7 pemain warisan untuk pasukan Harimau Malaya. Diharapkan kerajaan Malaysia dapat membantu dalam proses mendapatkan pasport Malaysia,” ujar DYAM Tunku Ismail.
Malah, Baginda turut memberi bayangan pemain-pemain ini kebanyakan berasal daripada negara di selatan Eropah dan bermain di 6 posisi yang berbeza seperti pertahanan, sayap dan tengah.
Perkhabaran ini membuatkan peminat setia Harimau Malaya teruja dan tidak sabar untuk menantikan kehadiran pemain warisan menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac ini.
Ternyata, berita mengenai perkembangan Harimau Malaya ini mendapat liputan daripada media di Vietnam apabila Znews turut melaporkan usaha pemain warisan yang dijalankan oleh DYAM Tunku Ismail.
”Malaysia Mempercepat Proses Naturalisasi 7 Pemain,” lapor Znews Vietnam.
”Menyaksikan kejayaan Indonesia dan Vietnam, Malaysia mahu mempromosikan proses naturalisasi pemain untuk tingkatkan prestasi masa depan,” tambah laman berita itu.
Ini seakan menghangatkan lagi pertembungan yang akan berlangsung antara Malaysia dan Vietnam dalam kempen Kelayakan Piala Asia pada bulan 10 Jun hadapan di Bukit Jalil.
Vietnam merupakan salah satu lawan Malaysia di Kelayakan Piala Asia hadapan apabila kedua-dua negara telah diundi bersama di dalam kumpulan F selain Laos dan juga Nepal.
Skuad negara akan membuka tirai kempen menentang Nepal sementara Vietnam akan berdepan Laos sebelum kedua-dua pasukan bertemu sesama sendiri dalam perlawanan kedua di Bukit Jalil pada Jun.