Richard Chin Tonggak Utama Charlton Dalam Piala EFL
Dunia
Charlton Athletic FC
Advertisements

Selepas Luqman Hakim Shamsudin mengutip minit berharga bersama KV Kortrijk, giliran Richard Chin pula menyinar bersama pasukan Liga Satu (divisyen tiga England), Charlton Athletic. Ini selepas The Addicks mencipta kejutan menewaskan kelab EPL, Brighton and Hove Albion dalam pusingan ke-16 Piala EFL yang berlangsung awal pagi tadi.

Brighton yang diperkuatkan beberapa pemain yang baru pulang dari Piala Dunia menguasai perlawanan sebaik sepak mula. Babak pertama menyaksikan Seagulls mencipta banyak peluang menerusi Tariq Lamptey dan Solly March terhadap penjaga gol Ashley Maynard-Brewer. Bagaimanapun, ia disia-siakan oleh barisan serangan mereka diketuai penyerang muda Julio Enciso dan Deniz Undav.

Sebaliknya, The Addicks pula mempunyai dua peluang keemasan untuk mendahului. Pertama, menerusi rembatan Jack Payne tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol Jason Steele. Kedua, menerusi tolakan Steven Sessegnon tetapi bola berjaya disekat kapten Lewis Dunk. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Advertisements

Babak kedua menyaksikan Seagulls memasukkan Kaoru Mitoma dan Evan Ferguson bagi menajamkan bahagian serangan. Tetapi bahagian serangan Brighton tumpul dalam mencipta jaringan dengan benteng pertahanan Charlton diketuai Chin dan Ryan Inniss kental bertahan. Keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan dengan penentuan sepakan penalti dibuat bagi menentukan pemenang.

Penentuan sepakan penalti mendebarkan penyokong kedua-dua pasukan selepas tiga pemain dari kedua-dua pasukan gagal menyempurnakan penalti. Tetapi selepas Maynard-Brewer menafikan penalti Moises Caicedo, Samuel Lavelle muncul wira dengan menyempurnakan penalti menewaskan Steele. Ini menjadikan Charlton satu-satunya wakil London yang masih bertahan dalam Piala EFL.

Dengan pengurus baru Dean Holden dilantik menggantikan pengurus lama Ben Garner yang dipecat, Chin pastinya mahu diberi lebih banyak peluang dalam kesebelasan utama. Selepas ini, The Addicks bakal menentang Peterborough dalam aksi Liga Satu seterusnya pada 26 Disember ini.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram