Risiko Besar Menanti FAM Jika Saranan AFC Ditolak
MakanBola
FA Malaysia

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berdepan risiko besar sekiranya ahli-ahli gabungan menolak saranan yang dikemukakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) terutama dalam pindaan statut.

Hal ini dinyatakan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John apabila ditanya tentang senario kemungkinan tersebut berlaku dalam Kongres Luar Biasa FAM.

Windsor memaklumkan sekiranya ada ahli gabungan yang tidak bersetuju dengan statut yang dikemukakan, statut tersebut akan diundi bagi mendapatkan kelulusan. Mereka juga harus menyuarakan pendapat dan cadangan alternatif berhubung statut yang dibantah.

Ini kerana setiap pindaan statut yang dikemukakan ada justifikasi tersendiri. Justeru, ahli gabungan harus menjelaskan mengapa syor mereka lebih sesuai berbanding saranan yang dikemukakan oleh AFC.

“Anda tak boleh berdiri dan kata saya tak setuju. Masa undi anda boleh undilah tapi anda kata anda ada satu lagi cadangan yang lebih baik. Kemudian bila anda beri cadangan itu, anda kena beritahu kenapa cadangan itu lebih baik daripada cadangan ini.

“Tak boleh saja pun (kata) saya tak setuju. Tak bolehlah, anda kena justifikasikan (alasan bantahan) sebab setiap statut ada justifikasi.

“Kalau anda nak perubahan kepada statut. anda kena berdiri dan jelaskan kenapa statut ini tidak bagus dan cadangan saya lebih baik. Anda kena jelaskan,” katanya dalam sidang media baru-baru ini.

Windsor turut memaklumkan jika draf pindaan statut ditolak ahli gabungan, maka itu hak mereka untuk menolak. Hal ini kemudiannya akan dirujuk kepada AFC dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk tindakan selanjutnya.

Salah satu bentuk tindakan yang diambil ialah pembentukan Jawatankuasa Normalisasi. Jawatankuasa ini akan menyiasat mengapa draf pindaan statut yang dikemukakan AFC dan FIFA ditolak ahli-ahli gabungan FAM.

“Langkah seterusnya berkemungkinan Jawatankuasa Normalisasi. Langkah seterusnya boleh jadi apa-apa,” tambahnya lagi.

“FAM kena terima. Jadi, cara terbaik ialah Jawatankuasa Normalisasi. Ini bermakna kita akan siasat kenapa pindaan statut tidak diluluskan. Jadi, apa sebabnya? Ini kerana jika anda tidak mengikut standard antarabangsa, anda akan berdepan masalah.”

Atas sebab itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), Datuk Mohd Saiful Mat Sapri berharap ahli-ahli gabungan FAM dapat menerima saranan yang dikemukakan AFC.

“(Kita) perlu akur dengan perubahan yang dicadangkan AFC,” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Kongres Luar Biasa FAM bakal berlangsung pada 4 Jun.