Bekas juara dunia ONE Flyweight Muay Thai, Rodtang Jitmuangnon mencuri tumpuan penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila melawat Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Lawatan rombongan keluarga jaguh berusia 27 tahun itu dikongsikan pengurusan JDT di platform media sosial Johor Southern Tigers. Lawatan ini turut disertai isterinya yang juga jaguh Muay Thai, Aida Looksaikongdin.
“Bekas juara dunia ONE Flyweight Muay Thai, Rodtang Jitmuangnon telah melawat Stadium Sultan Ibrahim milik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pada hari ini.
“Petinju sensasi tersebut turut membawa ahli keluarganya dalam sesi lawatan tersebut. Luaskan Kuasamu Johor,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Lawatan mereka diiringi oleh Ketua Pemasaran JDT, Kevin Ramalingam. Selain berpeluang melihat sendiri stadium yang memiliki 40,000 tempat duduk, Rodtang turut dibawa melawat kemudahan sekitar SSI.
Beliau bukan saja merasai pengalaman berada dalam bilik persalinan dan gimnasium stadium berkenaan. Malah, Rodtang turut dibawa melawat JDT Direct Megastore yang menjual barangan cenderamata eksklusif pasukan itu.
Kehadiran jaguh Muay Thai itu mencuri tumpuan penyokong Harimau Selatan yang berada di JDT Direct Megastore. Rodtang turut berkesempatan beramah mesra dan bergambar bersama penyokong yang bertuah.
Ramai penyokong JDT menyifatkan lawatan beliau memberi publisiti tambahan kepada kelab itu. Antara yang berpandangan sedemikian ialah pengguna Facebook bernama Zamry John.
Dia menyifatkan lawatan Rodtang ke SSI sebagai satu strategi pemasaran yang bijak. “(Taktik) pemasaran yang bijak. JDT hebat,” katanya di ruang komen Facebook.
Sementara seorang lagi penyokong bernama Azhar Ibrahim berpandangan ini kemungkinan petanda JDT bakal menceburi cabang sukan baru. Selain bola sepak, Harimau Selatan turut menceburi sukan tinju, hoki ais, futsal, bola jaring dan sukan permotoran.
“Jarang tiada sampingan lawatan ini, adakah akan muncul pula sukan untuk Muay Thai di JDT, sebab tinju memang sudah ada,” ujarnya.
Kehadiran Rodtang secara tidak langsung menambah lagi tarikan komersial yang dimiliki juara empat trofi musim 2023 itu.