Penyerang berbisa baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Romel Morales membuka mulut tentang perpindahannya yang sudah terlerai baru-baru ini.
Pemain naturalisasi negara itu baru sahaja selesai tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan di Piala Asia AFC 2023.
Beliau juga memainkan watak penting apabila meledak gol ketiga negara untuk mengikat pasukan ke-25 dunia, Korea Selatan dengan keputusan 3-3.
Pemain kelahiran Colombia itu mengambil keputusan untuk meninggalkan KL City bagi menyertai skuad Harimau Selatan bagi saingan Liga Super musim 2024/25.
Beliau sempat berkongsikan rasa terujanya apabila akhirnya menyarung jersi JDT setelah hampir 6 tahun berkelana di Malaysia sebagai pemain import.
“Sangat teruja dengan cabaran baru dalam kerjaya saya ini, adalah satu penghormatan untuk mewakili kelab hebat ini.”
“Saya masih mempunyai keinginan yang sama untuk menyumbang dan memberikan yang terbaik untuk pasukan. Terima kasih kepada semua orang yang terlibat terutamanya terima kasih banyak kepada TMJ untuk peluang ini,” ujarnya di laman Instagram.
Romel Morales juga telah membantu The City Boys untuk layak ke pentas akhir sebanyak tiga kali dan menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2021.
Beliau telah meledak 39 gol sepanjang 58 penampilan dalam semua kejohanan bersama KL City sejak tahun 2021.