Advertising
“Ronnie Fernandez Masih Belum Tajam Menjaringkan Gol” – Zainal Abidin
MakanBola
Selangor FC

Legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan berpandangan penyerang Selangor FC, Ronnie Fernandez harus kembali menemui sentuhan golnya dengan segera.

Sejak menyertai Selangor pada awal musim 2024/25, penyerang Chile berusia 33 tahun itu sudah menjaringkan sembilan gol dalam 27 penampilan semua kejohanan.

Ad

Meskipun begitu, Fernandez sudah lama tidak menjaringkan gol buat Merah Kuning. Kali terakhir bekas penyerang Al-Fayha itu berbuat demikian ialah pada 28 September 2024.

Ad

Tarikh tersebut menyaksikan Selangor menewaskan Terengganu FC 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) hasil jaringan Fernandez.

Zainal Abidin merasakan penyerang Chile itu perlu segera menemui kembali sentuhan penyudahnya. Ini kerana kemarau jaringan yang dilalui beliau sedikit sebanyak menyukarkan Merah Kuning.

Ad

“Ronnie Fernandez memang seorang pemain bernama besar dan seorang bintang. Jadi, apa yang beliau tunjukkan di sini sedikit menghampakan penyokong dan pengurusan (kelab),” katanya semasa menjadi panel Nadi Bola.

Ad

“Bagi saya, beliau masih belum mendapat ketajaman untuk menjaringkan gol. Peluang yang beliau perolehi kita dapat lihat cukup banyak tetapi ketajaman untuk menghabiskan peluang-peluang ini masih kurang.

Ad

“Saya rasa (tanggungjawab menjaringkan gol) ini terletak pada diri beliau sendiri. Ini kerana beliau bukan pemain yang tidak dikenali tetapi pemain berkualiti tinggi. Beliau tidak dapat memberi bisa sebenar beliau untuk Selangor.”

Selangor kini fokus untuk aksi separuh akhir MFL Challenge Cup menentang Penang FC. Aksi separuh akhir pertama bakal berlangsung di Stadium Bandaraya pada 19 Januari ini.

Ini disusuli aksi timbal balik di Stadium MBPJ pada 2 Februari. Pemenang bakal bertemu sama ada PDRM FC atau Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di pentas final.