Radio Televisyen Malaysia (RTM) masih belum memutuskan sama ada untuk menyiarkan saingan Piala Mitsubishi Electric ASEAN (PMEA) 2024.
Sebelum ini, peminat bola sepak negara memiliki pilihan untuk menonton siaran perlawanan kejohanan berprestij di Asia Tenggara itu. Mereka boleh memilih sama ada menonton di saluran RTM atau Astro.
Walau bagaimanapun, Ketua Pengarah RTM, Suhaimi Sulaiman memberi bayangan tiada siaran perlawanan PMEA di saluran RTM. Hal ini berlaku disebabkan beberapa faktor termasuk isu kos kewangan yang tinggi.
Meskipun RTM sentiasa berusaha membawa siaran sukan berkualiti tinggi kepada rakyat Malaysia, Suhaimi tidak mahu situasi tersebut menyebabkan RTM mengalami kerugian dari segi kewangan.
“Kini, pemegang hak siaran AFF mengenakan syarat baharu — jika RTM mahu siarkan AFF Asean, RTM mesti membeli pakej yang mengandungi 4 sukan lain yang tidak diperlukan oleh RTM. Harga yang ditawarkan oleh pemegang hak melebihi RM13 juta.
“RTM telah berunding berkali-kali. Mereka menurunkan sedikit harga tapi masih jutaan ringgit juga dan syaratnya, RTM mesti membeli semua acara sukan dan tidak secara pilihan. Kita mesti berhemah bila berbelanja. Rakyat masih boleh menonton AFF, tetapi di Astro.
“Kami cuba sedaya upaya untuk membawakan pelbagai acara sukan kepada penonton secara percuma tetapi kami tak sanggup membayar harga yg teramat tinggi dan ini semua adalah wang rakyat,” katanya dalam satu hantaran di X.
Seandainya pendirian RTM tidak menunjukkan perubahan, maka peminat bola sepak negara boleh menonton semua aksi PMEA 2024 di Astro.
Malaysia bakal membuka kempen PMEA 2024 menentang Kemboja pada 8 Disember ini jam 6.45 petang.