Ketua jurulatih Belgium, Rudi Garcia, menegaskan pasukannya tidak mempunyai apa-apa yang perlu dimalukan walaupun tewas kepada Sepanyol pada suku akhir Piala Dunia FIFA 2026.
Memetik laporan The News Mill, Garcia berkata Belgium boleh berbangga dengan kempen mereka kerana pasukan itu telah memperoleh pengalaman berharga sepanjang kejohanan.
“Kami boleh berbangga dengan kempen Piala Dunia kami. Kami belajar melalui kekalahan dan saya tidak fikir kami mempunyai apa-apa yang perlu dimalukan,” katanya.
Garcia turut mengakui beberapa faktor di luar jangkaan menjejaskan perancangan Belgium, termasuk kecederaan pemain-pemain utama.
“Kami kehilangan penjaga gol, kapten pasukan dan terpaksa mengeluarkan Kevin De Bruyne. Terlalu banyak perkara berlaku yang tidak memihak kepada kami,” katanya.
Beliau turut mempertahankan keputusan mengeluarkan Thibaut Courtois kerana tidak mahu kecederaan penjaga gol itu menjadi lebih serius.
“Sejak awal Piala Dunia, saya tidak mahu menggunakan pemain yang tidak berada pada tahap 100 peratus. Kami juga tidak mahu kecederaannya menjadi lebih buruk,” jelasnya.
Sementara itu, memetik laporan Independent, Courtois menegaskan beliau sebenarnya mahu meneruskan permainan walaupun mengalami kecederaan paha pada babak kedua.
“Saya mahu terus bermain lima atau 10 minit lagi kerana saya masih berasa baik. Namun jurulatih mahukan pemain yang benar-benar 100 peratus dan saya menghormati keputusannya,” kata Courtois.
🚨🇧🇪 Thibaut Courtois: “I felt a lot of pain in my quadriceps. But I had no problem with staying in goal though, only for long kicks”.
“In the end the manager decided to take me off, this is no problem as the team goes above everything”. pic.twitter.com/ATsdTrFYiv
Menurut ciapan X Fabrizio Romano, Courtois menjelaskan beliau mengalami kesakitan pada bahagian quadriceps, namun kecederaan itu tidak menghalangnya daripada terus beraksi kecuali ketika melakukan sepakan jauh.
Penjaga gol Real Madrid itu turut mempertahankan Senne Lammens selepas kesilapannya membawa kepada gol kemenangan Sepanyol.
“Beliau seorang penjaga gol yang hebat dan akan menjadi lebih kuat selepas pengalaman ini,” sambung petikan dari Independent.
Belgium tersingkir selepas tewas 2-1 kepada Sepanyol pada aksi suku akhir, dengan Mikel Merino menjaringkan gol kemenangan selepas Courtois terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.
Sepanyol kini akan berdepan Perancis pada aksi separuh akhir dalam usaha memburu tempat ke pentas final Piala Dunia FIFA 2026.