Ryuji Utomo Doakan Kejayaan Buat Penang
MakanBola
Penang FC

Bek tengah Indonesia, Ryuji Utomo mendoakan kejayaan pasukan lamanya, Penang FC menjelang final pertama MFL Challenge Cup menentang Sabah FC.

Bek tengah berusia 30 tahun itu berharap Penang mampu menamatkan kemarau trofi mereka selama 24 tahun.

“Hello, semua. Saya Ryuji Utomo, salah seorang bekas pemain Penang FC. Saya ucapkan selamat berjaya kepada Penang untuk final MFL Challenge Cup,” katanya.

Video ucapan bekas bek tengah Persija Jakarta itu dikongsikan Penang di semua platform rasmi pasukan itu.

Sebaik video tersebut disiarkan, ramai peminat mula merindui kelibat Ryuji bersama Sang Harimau Kumbang.

Seorang peminat bernama Mohammad Fakhri menyifatkan pemain berdarah Indonesia-Jepun itu sebagai pemain pertahanan yang boleh diharap semasa bersama Penang.

“Kereta kebal Penang ini dulu, patut panggil dia balik dulu kalau (berstatus) ejen bebas,” katanya di ruang komen Facebook.

Hal ini turut disokong seorang lagi peminat bernama Shafiq Suhairi. Beliau berharap Penang mempertimbangkan cadangan membawa Ryuji kembali bersama pasukan itu.

“Kami merindui anda, Baba Ryuji. Penang FC, tolong beli balik,” ujarnya di ruang komen Instagram.

Ryuji pernah bersama Sang Harimau Kumbang secara pinjaman selama semusim pada musim 2021. Beliau kini mewakili Persita Tangerang dalam saingan Super League.

Penang bakal berentap dengan Sabah dalam aksi final pertama MFL Challenge Cup di Stadium Bandaraya pada 4 April ini.