Bekas pemain pertahanan Harimau Malaya, S. Subramaniam menjangkakan beberapa perkara bakal menjadi fokus Bojan Hodak bila beliau mengemudi skuad kebangsaan.
Antara perkara yang dijangka menjadi fokus ialah membina mentaliti memburu kemenangan dalam kalangan pemain. Selain itu, Subramaniam percaya Hodak juga tidak terikat dengan mana-mana corak permainan.
Bekas pemain Kelantan itu cukup masak dengan taktikal jurulatih Croatia itu. Subramaniam tahu Hodak lebih suka mengutamakan corak permainan yang mudah, mengancam pihak lawan dan memastikan pasukan meraih kemenangan.
“Beliau lebih utamakan mentaliti kemenangan dan untuk pasukan kebangsaan mungkin ramai akan cerita tentang DNA apa kita nak main.
“(Corak permainan) untuk Bojan ialah mudah selagi mana anda bermain bola sepak mudah dan menjaringkan gol, memberikan bahaya kepada musuh dan memenangi perlawanan dan itu sudah cukup untuk Bojan Hodak,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Subramaniam juga percaya Hodak calon terbaik untuk mendapatkan keputusan buat Harimau Malaya. Meskipun begitu, beliau berharap bekas jurulatih Persib Bandung itu diberi ruang untuk membina pasukan yang lebih jitu menjelang kalendar antarabangsa pada Mac 2027.
“Untuk mendapat keputusan (terbaik buat Harimau Malaya), Bojan Hodak orang yang sesuai. Ya, Boyan Hodak bersama pasukan-pasukan beliau sudah mencipta keputusan-keputusan baik.
Tetapi (beliau) harus diberikan peluang (dan masa) kerana saya rasa bulan Mac baru kita ada kalendar antarabangsa. Maknanya beliau mempunyai masa untuk menilai pemain yang berada dalam prestasi yang terbaik untuk dipanggil ke kem pasukan kebangsaan,” tambahnya.
Hodak mengisi kerusi panas Harimau Malaya menggantikan jurulatih sebelumnya dari Australia, Peter Cklamovski. Beliau juga menjadi jurulatih Croatia pertama diberi peluang membimbing skuad senior kebangsaan.


