Pengendali Persib Bandung, Igor Tolic menyifatkan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memilih Bojan Hodak sebagai jurulatih baharu Harimau Malaya sebagai satu pilihan tepat.
Jurulatih Croatia itu berpandangan sedemikian kerana beliau melihat jasa rakan senegaranya itu membawa kelab Indonesia itu ke tahap yang membanggakan hari ini.
“Tentu saja, ini menjadi satu alasan lagi untuk merasa bahagia kerana beliau ialah teman kami yang sangat baik. Beliau legenda kami, beliau meletakkan asas agar kami bisa bermain. Kerana beliau, kami mendapat kesempatan bermain di ACL2.
“Kami juga mendapat kesempatan berdasarkan apa yang beliau lakukan dengan membawa pemain-pemain luar biasa seperti (Mariano) Peralta, Luka (Menalo), Balsa (Sekulic) dan siapa pun yang datang musim ini serta mempertahankan pemain yang kami miliki,” katanya seperti dilaporkan Bolasport.
Sepanjang bersama Persib, Hodak melakar pencapaian bergelar juara liga tiga kali berturut-turut dan beraksi di Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2). Atas sebab itu, Tolic melihat Hodak calon tepat untuk mengembalikan kegemilangan Harimau Malaya.
Jurulatih berusia 49 tahun itu secara berseloroh memaklumkan bersedia menyokong Hodak dan Malaysia kecuali jika pasukan itu bertemu pasukan Indonesia.
“Kami mendoakan yang terbaik untuk Bojan. Anda tahu mungkin saat mereka melawan Indonesia, kami tidak akan menyokong. Tetapi saat mereka melawan pasukan lain, kami menyokong Bojan setiap hari,” tambahnya.
Hodak diumumkan sebagai jurulatih baharu Harimau Malaya pada 24 November lalu. Beliau menjadi jurulatih Eropah pertama mengisi kerusi panas tersebut sejak Nelo Vingada pada 2017.
Antara sasaran yang telah ditetapkan FAM buat Hodak ialah memimpin Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2032.


