Advertisement
“Sabah Akan Beli Pemain Baru Kalau Ada Duit Macam Selangor & JDT” – Ong Kim Swee
Liga Super
MakanBola
Sabah FC

Ketua jurulatih Sabah FC, Dato’ Ong Kim Swee menyatakan bahawa hasrat untuk membawa masuk pemain baharu mungkin terhalang akibat kekangan kewangan.

Pengendali berusia 53 tahun itu terpaksa menelan hakikat apabila pasukan bimbingannya tewas lagi dengan keputusan 1-0 ke atas Selangor.

Beliau merasakan bahawa Sabah masih kurang konsisten untuk meneruskan rentak cemerlang sungguhpun meraih kemenangan besar 4-0 ke atas Sri Pahang tempoh hari.

Kim Swee bagaimanapun mengakui kualiti yang dimiliki oleh pasukan The Red Giants menyebabkan hasrat pasukannya meraih 3 mata terbantut.

Ketika ditanya mengenai muka baharu yang bakal dibawa masuk, beliau memberi bayangan bahawa Sabah akan mengekalkan skuad sedia ada sahaja.

“Saya sudah tentu mahu membawa masuk pemain baharu tetapi Sabah tidak mempunyai kewangan seperti Selangor dan JDT.”

“Saya perlu berbincang dengan pengurusan sekali lagi kerana ada beberapa posisi yang mahu ditambah baik terutamanya bahagian tengah dan juga pertahanan,” jelasnya ketika sidang media.

Sabah kini berjuang tanpa khidmat bekas perancang tengah, Baddrol Bakhtiar yang sudah tidak lagi bersama pasukan sambil giat mencari pengganti untuk mengisi kekosongan tersebut.