Sabah FC bakal dihukum Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas pasukan itu disahkan tidak hadir dalam satu aksi Piala Belia tempoh hari.
Sabah yang dijadualkan bertemu Kuala Lumpur City FC pada Sabtu tidak menghadiri perlawanan dan kemenangan 3-0 diberikan kepada KL City di atas ketidakhadiran pihak lawan.
Namun begitu, hukuman yang dikenakan ke atas Sabah akan ditentukan oleh Jawatankuasan Tatatertib FAM yang akan diumumkan kelak.
“Jawatankuasa Pertandingan FAM telah memberikan kemenangan 3-0 kepada Kuala Lumpur City FC selepas Sabah FC gagal hadir ke perlawanan malam ini.
“Tindakan seterusnya akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM yang mana Sabah FC boleh dikenakan hukuman selanjutnya mengikut budi bicara jawatankuasa berkenaan,” umum FAM di laman Instagram.
Ini bukanlah kali pertama skuad Piala Belia Sabah tidak menghadiri perlawanan kerana sebelum ini, Sabah juga disahkan tidak hadir pada perlawanan menentang Kelantan United FC yang seharusnya dijalankan pada 13 Ogos lepas.
Sehingga kini masih belum ada info lanjut daripada pihak pengurusan Sabah berkenaan ketidakhadiran skuad Piala Belia Sabah di dalam dua perlawanan terakhir mereka.