Sabah Ke UCL, Singkirkan Kelab Negara Haram
MakanBola
Sabah FK

Kelab Azerbaijan, Sabah FK mengesahkan kelayakan ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dengan menyingkirkan kelab Israel, Hapoel Be’er Sheva 6-4 secara agregat.

Selepas tewas 2-1 dalam aksi playoff pertama, Sabah berharap dapat memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Tofiq Behramov untuk bangkit dan layak ke UCL.

Be’er Sheva mendahului seawal minit ke-10 menerusi Igor Zlatanović. Tuan rumah kemudiannya bangkit menyamakan kedudukan menerusi Christian Nwachukwu pada minit ke-38.

Be’er Sheva kembali mendahului menerusi Guy Mizrahi pada minit ke-61. Walau bagaimanapun, Sabah menyumbat dua gol masing-masing menerusi Umarali Rahmonaliev dan Tellur Mutallimov untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Patrick Orphe Mbina dan Joy Lance Mickels memastikan slot kelayakan ke fasa liga UCL sah menjadi Sabah. Lebih menarik, Sabah menjadi kelab termuda layak ke UCL kerana kelab itu ditubuhkan pada 2017.

Nama Sabah cukup dikenali peminat bola sepak negara bukan saja kerana persamaan nama dengan pasukan Borneo, Sabah FC. Malah, Jon Irazabal pernah beraksi untuk Sabah selama beberapa musim sebelum menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT).