Saddil Ramdani Diizinkan Sertai Timnas Indonesia

saddil ramdani sabah negaraku Saddil Ramdani Diizinkan Sertai Timnas Indonesia
UNIFI

Pemain Sabah FC, Saddil Ramdani kini mendapat lampu hijau untuk bersama skuad bawah 23 tahun Indonesia bagi temasya Sukan SEA 2022 di Hanoi, Vietnam. Perkara itu disahkan dalam satu siaran media oleh Sabah FC hari ini yang bersetuju untuk melepaskan Saddil Ramdani.

Satu persetujuan telah dicapai pasukan Sabah FC setelah perbincangan dilakukan bersama Ketua Jurulatih Indonesia, Shin Tae-Yong dan Pengarah Teknikal PSSI (Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia) Indra Sjafri.

Expand player

Ini bermakna, khidmat Saddil bakal dipertaruhkan Indonesia dalam perlawanan pertama skuad garuda bertemu Vietnam pada 6 Mei 2022 kelak. Bagaimanapun, Saddil perlu kembali melapor diri di Kota Kinabalu pada 10 Mei 2022 sebagai persiapan bersama kelab untuk menghadapi dua perlawanan penting.

Pengendali Sabah FC, Ong Kim Swee tetap mahukan Saddil Ramdani berada dalam skuadnya ketika Sabah FC menentang Kelantan United bagi saingan Piala FA pada 13 Mei kelak serta aksi The Rhinos menentang Pulau Pinang bagi saingan Liga Super pada 17 Mei depan.

Dalam pada itu, pihak pengurusan kelab Sabah FC turut bersetuju untuk melepaskan Saddil bersama skuad garuda dengan lebih awal bagi menghadapi kempen Piala Asia 2023 pusingan kelayakan pada 18 Mei hingga 15 Jun 2022.

Dalam kenyataan tersebut, Sabah FC sempat mengucapkan ucapan selamat maju jaya buat Shin Tae-Yong dan timnas Indonesia bagi menghadapi temasya Sukan SEA dan kempen kelayakan Piala Asia pada Jun kelak.