Sadio Mane Sahut Panggilan Haji
MakanBola
Al-Nassr FC

Bekas penyerang Liverpool, Sadio Mane menjadi sebahagian daripada dua juta umat Islam yang menyahut panggilan haji tahun 2025.

Akhbar Daily Mail melaporkan nama penyerang Senegal itu tidak tersenarai dalam skuad yang akan menghadapi Ireland dan England pada 7 dan 11 Jun.

Ini membuatkan ramai penyokong bingung ke mana perginya Mane. Ini kerana sejak beliau membuat penampilan pertama bersama Senegal, Mane tidak pernah menolak panggilan kem kebangsaan.

Ini ditambah dengan penyerang berusia 33 tahun itu beraksi untuk Al-Nassr untuk aksi terakhir liga pada 26 Mei lalu.

Kini, ketiadaan Mane akhirnya terjawab apabila beliau kini berada di Makkah untuk melaksanakan rukun Islam yang kelima.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Senegal (FSF), Augustin Senghor turut memaklumkan ketiadaan beliau turut mendapat persetujuan daripada jurulatih, Pape Thiaw.

Meskipun sedar ketiadaan Mane sedikit sebanyak menjejaskan kekuatan Senegal, Senghor melihat ini peluang buat pemain lain merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Mungkin ada hikmah tersendiri buat beliau dan kami. Kami mahu melihat beliau pada tahap terbaik untuk cabaran seterusnya.

“Perlawanan-perlawanan ini memberi peluang kepada pemain lain untuk bangkit, membuktikan mereka dapat bermain bersama tonggak-tonggak utama dan membantu pasukan ini berkembang,” katanya seperti dilaporkan FootBoom.

Sejak menyertai Al-Nassr pada musim panas 2023, Mane telah merekodkan 37 gol dan 25 bantuan gol dalam 93 penampilan.