Safawi Rasid antara sembilan pemain yang tidak lagi bersama Terengganu FC bagi menghadapi musim 2025/26.
Ini selepas pengurusan Peteh mengumumkan senarai sembilan pemain yang dilepaskan selepas tamat musim 2024/25.
Safawi kembali ke Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas tamat tempoh pinjaman bersama pasukan Pantai Timur itu.
Selain pemain sayap kebangsaan itu, Terengganu turut memilih untuk tidak mengekalkan khidmat Nor Hakim Hassan, Syafik Ismail dan Syaiful Haqim Shahrul.
Lima tonggak import iaitu Ivan Mamut, Ismaheel Akinade, Manuel Ott, Nelson Bonilla dan Argzim Redzovic juga tidak dikekalkan untuk musim 2025/26.
Satu-satunya tonggak import yang dikekalkan Terengganu untuk musim hadapan ialah jeneral tengah Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov.
Susulan itu, Peteh memaklumkan lima tonggak import baharu akan direkrut untuk musim depan. Lima pemain ini akan mengisi bahagian pertahanan, tengah dan serangan.
Meskipun tidak dapat mengekalkan Safawi, Terengganu berjaya mengekalkan Azam Azmi Murad secara pinjaman dari JDT selama semusim lagi.