Argzim Redzovic: Lawan JDT Adalah Cabaran Terbesar Selama Di Terengganu
MakanBola
Terengganu FC

Bekas pemain pertahanan Terengganu FC, Argzim Redzovic menyifatkan aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai cabaran terbesar beliau sepanjang bersama pasukan itu.

Pandangan itu dibuat beliau apabila ditanya cabaran besar yang dihadapinya sepanjang beberapa tahun bersama pasukan Pantai Timur itu.

Redzovic menyifatkan bukan mudah berdepan JDT lebih-lebih lagi di pentas final Piala Malaysia 2023. Ini kerana pasukan itu memiliki kaliber yang tersendiri.

“Membawa TFC ke Bukit Jalil menentang JDT adalah momen luar biasa. Bermain menentang pasukan sehebat JDT adalah cabaran terbesar saya sepanjang enam tahun di sini,” katanya.

Redzovic ketika ini menjalani pemulihan kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) di Ipoh, Perak. Kecederaan itu dialami sekitar Februari lalu.

Proses pemulihan beliau turut dibantu oleh bekas jurulatih kecergasan Perak FC, Sam Pakiaraj Victor Davaraj.

“Saya menjalani rawatan fisioterapi di Ipoh atas cadangan jurulatih Mehmet Durakovic dan rakan lama saya Nasir Basharudin.

“Kini, saya menjalani latihan bersama Coach Sam, jurulatih kecergasan Perak FC. Alhamdulillah, saya sudah boleh berlari dan semakin yakin,” tambahnya.

Redzovic berharap dapat kembali cergas sepenuhnya menjelang Ogos nanti. Beliau kini berstatus ejen bebas selepas meninggalkan Peteh pada akhir musim lalu.