Aksi menarik Shopee Cup antara Shan United vs Terengganu akan menjadi satu pentas tumpuan buat 5 bintang antaranya Safawi Rasid.
Shan United ketika ini menghuni tangga tercorot kumpulan A setelah tewas dalam kedua-dua aksi pertama kepada Thanh Hoa serta PSM Makassar sekaligus gagal mengutip sebarang mata.
Manakala, Terengganu pula hanya sekadar mencatatkan satu keputusan seri dan satu kekalahan dalam 2 perlawanan awal untuk berada di kedudukan kelima dengan mengumpul satu mata.
Di sebalik aksi hangat ini, terdapat 5 tonggak Shan United dan Terengganu yang bakal meraih perhatian dari peminat kedua-dua pasukan.
1- Safawi Rasid
Pemain sayap berusia 27 tahun ini pastinya menjadi senjata ampuh oleh Badrul Afzan bagi mengetuai jentera serangan Terengganu dengan kelebihan menggelecek dan melakukan percubaan jarak jauh.
Dengan 4 jaringan dan satu bantuan gol yang telah dicipta sepanjang musim ini, kelibat Safawi di atas padang sudah pasti bakal dirantai oleh benteng pertahanan Shan United pada aksi ini.
2- Nurillo Tukhtasinov
Jentera tengah Terengganu bakal mengharapkan magis dan kreativiti yang dimiliki oleh Nurillo bagi merencana serangan selain mampu bergerak bebas mencari ruang untuk meledak jaringan.
Nurillo yang juga bintang termahal Terengganu ketika ini sudah terlibat dalam 4 jaringan buat gergasi Pantai Timur itu sejak dari permulaan musim malah sering kali menjadi pilihan jurulatih.
3- Manuel Ott
Seorang lagi jeneral tengah yang pastinya menjadi tumpuan oleh pemain-pemain Shan United apabila Ott dilihat mampu bertahan dan menyerang yang baik selain mengawal tempo permainan.
Malah, Ott kini sudah pun mencetak dua jaringan dalam dua perlawanan awal Terengganu dalam aksi Shopee Cup ketika tewas di tangan Syav Rieng dan seri menentang Thanh Hoa.
4- Ye Yint Aung
Pemain sayap kiri lincah ini perlu diberi perhatian dan diawasi oleh barisan pertahanan Terengganu andai tidak mahu misi 3 mata lebur dengan Yint Aung ini bakal menjadi senjata utama Shan United.
Dalam 16 penampilan musim ini, Yint Aung telah menyumbat 9 gol bagi membantu Shan United kini memimpin carta Liga Kebangsaan Myanmar dan berada dalam kelompok penjaring terbanyak.
5- Mark Sekyi
Seorang lagi penjaring terbanyak Shan United adalah pemain import dari Ghana, Mark Sekyi yang sudah pun mengumpul 6 jaringan dalam saingan liga domestik dan satu gol di Shopee Cup.
Kelibat Sekyi dijangka bakal nadi penting buat jentera tengah Shan United dengan pemain berusia 29 tahun ini mempunyai kelebihan besar untuk beraksi secara menyerang mahu pun bertahan.
Aksi Shan United vs Terengganu bakal berlangsung pada 8 Januari ini dengan sepak mula perlawanan dijadualkan tepat jam 7.30 malam di Stadium Thuwunna, Yangon.