Pemain sayap kanan Harimau Malaya, Safawi Rasid terus menjadi wira buat pasukan negara yang turun menentang cabaran pasukan Laos apabila mencatat nama selaku penjaring ketika menang 4-0 sebentar tadi.
Beliau yang turun dalam kesebelasan utama menjadi tunjang pasukan apabila bergandingan dengan dengan penyerang muda negara, Luqman Hakim Samsudin dan juga Arif Aiman bermula garang dengan asakan bertali-arus ke arah gawang gol Laos seawal minit pertama.
Ini membuahkan hasil apabila gerakan yang dimulakan oleh Arif yang memberi tekanan kepada pertahanan Laos membuahkan hasil apabila gerakan tersebut berjaya memberi ruang buat Safawi Rasid menjaringkan gol pendahuluan pada minit ketujuh.
Bukan itu sahaja, pemain berusia 24 tahun ini juga gigih menggandakan serangan bagi membantu Malaysia terus mencari jaringan kedua namun kekebalan pertahanan Laos membuatkan usaha itu terbantut.
Gandingan satu dua dengan Luqman sering menjadi mimpi ngeri buat lawan yang sentiasa mengawal rapi selain usaha Rizal Ghazali yang naik bagi membantu jentera serangan amat penting buat pasukan negara.
Gol kedua yang dinanti-nantikan oleh seluruh penyokong Malaysia tercipta berpunca daripada sepakan penjuru yang disudahkan dengan satu tandukan cantik oleh Safawi yang mencatat jaringan kedua peribadi pada perlawanan ini.
Beliau menutup perlawanan ini dengan gol ketiga peribadinya apabila menyudahkan hantaran cantik oleh Kogileswaran dengan satu sepakan ke arah kanan gawang Laos untuk meletakkan Malaysia dalam kedudukan selesa.
Ini juga menjadi bukti apabila beliau bercita-cita untuk menyerlah dan membantu Malaysia mengharungi kempen dengan penuh gemilang.
Malaysia menamatkan perlawanan ini dengan memungut 3 mata penuh dalam usaha untuk meraih tempat ke peringkat seterusnya.