Advertisements
Safawi Rasid : Tak Mustahil Saya Juga Boleh Meletup Di Piala AFF Kali Ini
Dunia
MakanBola

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kosmo, penyerang skuad Harimau Malaya, Muhammad Safawi Rasid mahu mencabar dirinya beraksi dengan lebih cemerlang untuk membantu pasukan kebangsaan dalam saingan Piala AFF Suzuki 2021 di Singapura nanti.

Pemain yang berusia 24 tahun ini menjelaskan sukar untuk para pemain mencari konsistensi ketika bermain. Namun beliau yakin untuk bangkit dan membantu skuad negara di pentas AFF.

“Bagi saya, ia adalah lumrah dalam bola sepak apabila pemain berdepan aksi turun naik. Mungkin 2021 adalah (musim) buruk bagi saya, namun siapa tahu pada tahun depan menjadi rezeki saya.

“Tidak mustahil saya juga boleh ‘meletup’ pada Piala AFF kali ini. Saya harap keluarga serta seluruh rakyat Malaysia doakan agar saya kembali mendapat sentuhan sebenar di sana nanti,” katanya.

Safawi turut bersikap positif dengan muka-muka baharu yang dipanggil jurulatih. Menurutnya sebagai pemain bola sepak, bermain dalam semangat berkumpulan itu penting.

“Keadaan seperti ini bagus kerana sebagai pemain bola, tidak selalunya kita berada di atas. Saya rasa seperti mula-mula menjadi pemain bola, sentiasa bersemangat untuk buktikan kemampuan,”

“Saya juga tidak ada masalah sekiranya pemain-pemain lain lebih menyerlah di sana nanti kerana apa yang paling pen­ting adalah pasukan. Menerusi gabungan pemain naturalisasi, saya harap kita mampu jadi juara tahun ini,” tambahnya.