Advertisements
Safee Sali Percaya Ryuji Sato Tak Pernah Main Bola
Dunia
MakanBola
FB SafeeSali_10

Selepas insiden kontroversi yang terjadi dalam perlawanan Malaysia menentang Vietnam malam tadi, ramai pihak meluahkan apa yang terbuku di hati. Mana tidaknya, kad merah yang dilayangkan pengadil dari Jepun, Ryuji Sato ke atas Azam Azmi Murad dilihat sangat tidak wajar.

Antara individu yang turut meluahkan rasa ketidakpuasan hati adalah bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali. Safee memuatnaik satu hantaran di laman Facebook beliau dengan menganggap Ryuji merupakan seorang yang tak pernah bermain bola sepak.

“Pandangan saya, dia ni (Ryuji Sato) tak pernah dan tak pandai bermain bolasepak. Permainan bolasepak sukan yang dimainkan dengan menggunakan tubuh fizikal. Dalam masa yg sama ianya menggunakan mental dan emosi.

“Bila mana org yg tidak tahu menahu sentuhan secara keras demi perjuangan nama negara, itulah tindakan dan layangan kad yg tidak sepatutnya terjadi,” luah Safee.

Safee yang juga merupakan anggota skuad kebangsaan yang memenangi Piala AFF 2010 itu juga turut mencadangkan Ryuji Sato bermain bola sepak agar dapat merasai apa yang pemain seperti Azam rasai malam tadi.

“Berat sebelah dan nampak ketidakadilan di situ. Suruh dia rembat bola lepas tu ada defend body contact dia.. Apa dia rasa,” coretnya lagi.

Walau bagaimanapun, barisan pemain negara perlu belajar dengan keputusan malam tadi dan kembali fokus. Ini kerana Malaysia masih mampu mara ke peringkat separuh akhir dengan syarat menewaskan Singapura pada aksi terakhir kumpulan. Perlawanan tersebut dijadualkan berlangsung pada 3 Januari dan akan dimainkan di Stadium Nasional Bukit Jalil.