Nilai pasaran dua pertahanan kebal Sabah, Dominic Tan dan Gabriel Peres kini sudah melepasi RM1.3 juta.
Sabah kini menghuni tangga ketiga carta Liga Super dengan mengutip 29 mata selepas 15 aksi musim ini, enam mata di belakang Selangor yang berkelebihan satu perlawanan.
Malah, skuad bimbingan Martin Stano ini turut melangkah ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia dan akan bertemu Sri Pahang pada 18 Januari bagi aksi timbal balik pertama.
The Rhinos turut memiliki rekod tanpa kalah dalam 9 aksi terakhir dengan 5 daripada aksi tersebut tidak dibolosi oleh pihak lawan termasuklah ketika menyingkirkan Kuching City.
Persembahan cemerlang pasukan Sabah ini dibantu dengan aksi konsisten daripada para pemain sekaligus menyaksikan saham beberapa tonggak utama melonjak naik mendadak.
Berdasarkan kemas kini oleh laman Transfermarket, dua bek kebal Sabah, Dominic Tan dan Gabriel Peres masing-masing mencatat kenaikan nilai pasaran sehingga hampir RM1.3 juta.
Dominic Tan yang juga kapten Harimau Malaya merekodkan peningkatan sebanyak 9.1% untuk muncul pemain kedua termahal Sabah dengan nilai 300,000 Euro sekitar RM1.39 juta.
Begitu juga dengan Gabriel Peres yang turut memiliki nilai pasaran 300,000 Euro (RM1.39 juta) setelah mencatatkan kenaikan sebanyak 20% berbanding kemas kini terdahulu.
Dominic dan Gabriel kini sedang dalam persiapan bersama skuad Sabah untuk menghadapi dua aksi penting bertemu JDT dalam saingan Liga Super dan Sri Pahang dalam kempen Piala Malaysia.