Advertisement
Piala Malaysia: Sabah Tamatkan Perjalanan Kuching City
Piala Malaysia
MakanBola
Sabah FC

Perlawanan tunggal suku akhir Piala Malaysia pada Isnin menyaksikan Sabah mengikat Kuching City di Likas untuk mara ke pusingan seterusnya.

Setelah hanya membawa bekalan tipis 1 gol di tempat lawan, Sabah meneruskan misi untuk mara ke separuh akhir dengan melayani kunjungan Kuching City dalam aksi timbal balik di Likas.

Pengendali Sabah, Marko Stano menampilkan kesebelasan terbaik dengan nama-nama hebat seperti Dominic Tan dan Daniel Ting sementara Petrus Shitembi mengetuai barisan pemain Kuching City.

Turun dengan jersi keramat berwarna merah, Sabah kerap kali mengasak kubu kuat Kuching City hasil gerakan lincah dari sebelah sayap menerusi Miguel Cifuentes serta Telmo Castanheira.

Begitu juga dengan pasukan pelawat yang cuba menekan pertahanan The Rhinos khususnya kelibat Jordan Mintah yang banyak berlegar di hadapan kawasan kotak penalti Sabah.

Separuh masa pertama tamat, Sabah 0-0 Kuching City.

Kembali dari rehat, hasrat Kuching City memperoleh sepakan penalti apabila Jordan Mintah dijatuhkan oleh Damien Lim di dalam kotak penalti tidak kesampaian setelah VAR menafikan hajat itu.

Arif Fadzilah hampir meletakkan Kuching City di hadapan namun rembatan bek kiri tersebut sedikit tersasar ke sisi gawang Sabah ketika permainan memasuki pertengahan aksi.

Aksi di Stadium Likas berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan sekaligus menyaksikan Sabah mara dengan agregat 1-0.

Dengan keputusan ini, Sabah melangkah mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2024/2025 dan bakal bertemu Sri Pahang untuk menentukan tiket ke perlawanan akhir.