Saham pasukan gergasi dari pantai timur, TRW Kelantan FC dianggarkan sudah mencecah pada tanda harga RM60 juta.
Hal ini berikutan daripada pengumuman baharu pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman di laman Facebook miliknya hari ini yang memaklumkan bahawa ada diantara penyokong The Red Warrior yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada pemilik pasukan.
Penyokong tegar Kelantan itu telah menyatakan kesudian untuk membeli 5% daripada saham pasukan. 5% itu harga RM 3 Juta.
“Terima surat permohonan dari fans setia bola Kelantan FC berminat nak beli 5% saham TRW KELANTAN FC pada harga RM3,000,000. InshaAllah, Kalau jadi saya akan umumkan.”
Norizam atau lebih mesra disapa Zamsaham yakin bahawa nilai pasukan ini akan meningkat naik sejurus siapnya padang latihan buat pasukan. Beliau juga dilihat amat bersungguh untuk menubuhkan Akademi Bolasepak Kelantan dalam masa terdekat.
“InshaAllah valuation TRW Kelantan FC akan semakin naik jika dapat buka padang latihan di setiap jajahan negeri Kelantan yg seterusnya baik untuk ubi-ubi muda. TRW Int Football Academy juga akan menjadi platform terbaru memperkuatkan ekosistem. Saya juga plan nak buka lebih banyak TRW Shop.”
Secara keseluruhannya, jika ditinjau daripada nilai 5 peratus harga saham ketika ini, ia boleh mencecah kepada jumlah keseluruhan saham pasukan sebanyak RM 60 juta. Untuk rekod, Norizam Tukiman pada 2020 telah mengambil alih Kelantan pada harga RM 6.8 Juta.