Salah Buat Keputusan, Pengadil La Liga Digantung
La Liga
RFEF
Advertisements

Gara-gara kesilapan yang dilakukan dalam aksi La Liga membabitkan Real Madrid dan Valencia baru-baru ini, pengadil Gil Manzano direhatkan oleh Jawatankuasa Teknikal Pengadil Persatuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF).

Perlawanan Los Blancos dan Los Che diselubungi kontroversi disebabkan tindakan Manzano meniup wisel penamat tatkala pelawat menjaringkan gol ketiga menerusi Jude Bellingham.

Sebaik menyedari apa yang berlaku, barisan pemain termasuk Bellingham dan staf Real Madrid membantah tindakan pengadil berdarah Extremadura itu.

Advertisements

Bintang muda England itu kemudiannya bernasib malang apabila dilayangkan kad merah oleh Manzano selepas itu.

Pengadil tersebut sedar beliau telah melakukan satu kesalahan besar seperti yang didedahkan pengacara Onda Cero, Edu Garcia.

“Saya sudah bercakap dengan Gil Manzano hari ini dan apa yang saya boleh katakan ialah beliau tahu beliau salah. Beliau tahu beliau telah melakukan kesilapan. Tetapi beliau amat tenang,” katanya seperti yang dilaporkan Get Spanish Football News.

Advertisements

Dan semalam, Archivo VAR melaporkan Manzano direhatkan oleh Jawatankuasa Teknikal Pengadil RFEF untuk sekurang-kurangnya dua perlawanan.

Dalam tempoh tersebut, beliau bukan saja tidak dibenarkan menjadi pengadil. Malah, namanya juga tidak akan dipilih sebagai pembantu pengadil video (VAR).

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram