Bekas pemain Juventus, Sami Khedira telah mendedahkan sebuah kisah bagaimana kehadiran Cristiano Ronaldo berjaya mengubah mentaliti para pemain Juventus.
Cristiano Ronaldo mengejutkan peminat bola sepak dunia apabila menyertai Juventus pada Ogos 2018 dengan yuran perpindahan sebanyak RM591.3 juta (€117 juta) setelah 9 tahun bersama Real Madrid.
Sami Khedira yang pernah bermain bersama Ronaldo di Real Madrid sekali lagi bergabung dengan penyerang Portugal tersebut sewaktu di Juventus.
Dalam sebuah temu bual bersama Rio Ferdinand, Sami Khedira telah menceritakan mentaliti yang dipamerkan oleh Ronaldo telah mempengaruhi rakan sepasukan beliau di Juventus.
“Sewaktu Cristiano Ronaldo menyertai Juventus sememangya beliau memiliki ego yang tersendiri. Federico Chiesa pula pemain muda yang hebat ketika itu.
“Chiesa mempunyai telefon di tangan ketika berjalan ke gim dan Ronaldo melihat lalu menegurnya ‘apa yang kamu lakukan? kemana kamu mahu pergi?’
“Chiesa berkata mahu pergi ke gim dan Ronaldo membalas kamu tak perlukan telefon, pergi ke gim dan berlatih. Jangan bermain Instagram atau TikTok. Fokus terhadap latihan.
“Para pemain muda Juventus ketika itu berasa kagum dan mengikuti pesanan Ronaldo. Kualiti latihan ketika Ronaldo menyertai Juventus juga berubah.
“Setiap percubaan tepat ketika latihan membuatkan saya rasa perlu mendapatkan jaringan gol. Kami tak bermain untuk wang tetapi bermain untuk menikmatinya demi sebuah hidangan makan malam.
“Ronaldo sangat suka bersaing tetapi dia juga peramah, baik dan merendah diri pada pendapat saya.” ujar Sami Khedira.
Bintang Portugal itu bermain untuk Juventus selama 3 tahun dan berjaya menjaringkan 101 gol dalam 134 penampilan bersama Juventus.
Ronaldo pernah menjulang 2 gelaran Serie A dan 1 Piala Itali bersama Juventus sebelum beliau mengambil keputusan untuk kembali ke kelab lamanya, Manchester United pada tahun 2021 yang lalu.