Skuad Tok Gajah, Pahang meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan liga di kelompok empat pasukan terbaik pada musim 2020 ini.
Pengurusnya iaitu Datuk Suffian Awang berkata sasaran itu dilihat realistik namun cabaran hebat bakal diterima oleh mereka kerana perlu berhadapan dengan pasukan-pasukan lain yang turut rancak melakukan persiapan.
“Selangor, Kedah dan Terengganu telah berbelanja banyak untuk memantapkan pasukan dan ini pastinya akan menjadi satu saingan yang sengit pada tahun ini,” katanya.
Ketika pasukan lain sedang giat mempersiapkan pasukan, Pahang memilih untuk lebih bijak berbelanja dalam mendapatkan pemain-pemain import.
Hal ini kerana menurut Suffian, terdapat pemain import pada musim lalu yang tidak memberikan pulangan yang diharapkan oleh pasukan.
“Ada pemain yang meminta gaji yang terlalu tinggi kepada pasukan yang buatkan kita tidak mampu nak bayar.”
“Kami tak nak buat lagi silap yang sama pada musim ini. Kami mahukan pemain yang berpengalaman tetapi dalam masa yang sama gajinya lebih adil buat kami juga,” tambahnya lagi.