Skuad hoki Malaysia meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Sultan Azlan Shah Cup (SASC) apabila membelasah Kanada di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh.
Selepas menewaskan Korea Selatan 3-0 dalam aksi pembukaan, anak buah Brendan Carolan tampak tidak sabar menambah satu lagi kemenangan bila bertemu Kanada.
Peminat hoki negara ceria apabila penyerang veteran, Faizal Saari membuka tirai jaringan seawal minit pertama perlawanan.
Kanada cuba bangkit mengatur rentak demi mendapatkan gol penyamaan. Malangnya, gawang mereka yang dikawal Zachary Coombs bocor buat kali kedua menerusi Azrai Azad Abu Kamal.
Amirul Hamizan Azahar memastikan The Speedy Tigers mendahului 3-0 sehingga rehat separuh masa menerusi gol pada minit ke-28.
Selepas rehat, Kanada makin derita apabila pengadil memberi penalti stroke kepada Malaysia. Faizal tenang menewaskan Coombs untuk gol keempat The Speedy Tigers.
Penyerang Terengganu Hockey Team (THT) itu menambah dua lagi gol dengan meledakkan gol pada minit ke-50 dan 57. Keputusan 6-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Malaysia kekal di tangga ketiga dengan enam mata. Ini disebabkan Pakistan dan Australia memiliki kelebihan gol yang lebih baik berbanding skuad negara.
Selepas ini, Malaysia akan berdepan cabaran Amerika Syarikat (US) pada 23 November ini.


