Bintang muda Muay Thai, Johan Ghazali bangga kerana dapat membawa nama negara di pentas dunia.
Nama Johan atau nama sebenarnya Muhammad Johan Ghazali Zulfikar menjadi tumpuan ramai selepas berjaya mengalahkan lawannya, Edgar Tabares dalam ONE Fight Night 17.
Lebih menarik, kejayaan tersebut dilakar Johan atau Jojo dalam tempoh 36 saat.
Susulan itu, ada yang mendakwa atlet muda berusia 17 tahun itu merupakan anak jati Perak atau Sarawak bagi meraikan kejayaannya.
Bagi Jojo, beliau tidak ambil pusing pun tentang perkara ini. Ini kerana pada akhirnya, beliau bangga sebagai anak jati Malaysia yang mampu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
“Yang penting aku orang Malaysia, aku bangga jadi orang Malaysia. Aku ada pasport Malaysia, kalau aku pergi (ke) pertarungan mana-mana naik penerbangan, aku memang bawa bendera Malaysia.
“Aku memang sasarkan aku nak naikkan nama Malaysia bukan sebab nak naikkan nama satu-satu negeri. Sebab aku sudah bertarung di pentas dunia, aku memang nak bawa nama Malaysia,” katanya dalam satu video yang dikongsikan pengguna Facebook, Halimi Halil.
Dengan pertarungan menentang Tabares merupakan pertarungan terakhirnya untuk tahun ini, Jojo kini membuat persiapan agar dapat tampil lebih hebat untuk aksi pertarungan pada tahun hadapan.