Jaguh perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mengakui gembira kerana dapat beraksi semula di atas gelanggang.
Sebelum ini, Tze Yong terpaksa berehat lama akibat kecederaan belakang yang dialaminya pada tahun 2024.
Kecederaan tersebut memaksa anak jati Johor Bahru, Johor itu tidak dapat menyertai kejohanan antarabangsa sepanjang tahun tersebut.
Kini, selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan, Tze Yong gembira dapat kembali berlatih di bawah bimbingan ketua jurulatih perseorangan negara, Kenneth Jonassen.
“Saya rasa saya agak gembira kerana dapat kembali ke gelanggang. Kalau kita dapat teruskan, saya rasa pada bulan April, sudah boleh masuk (kejohanan),” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.
Buat masa ini, fokus bekas naib juara Arctic Open 2023 itu ialah kejohanan antarabangsa bertaraf rendah bermula pada April ini. Ini bertujuan membina kembali keyakinan dan keupayaan Tze Yong di atas gelanggang.
Selain itu, ini juga membantu beliau melindungi rankingnya. “Bulan April tiada kejohanan yang besar. Saya akan sertai satu kejohanan untuk melindungi ranking saya,” ujarnya.
Satu kejohanan yang berpotensi menjadi fokus Tze Yong ialah Phuket International Series. Kejohanan itu bakal berlangsung dari 1 hingga 6 April ini.