Advertisements
“Saya Nak Raikan Pingat Emas Dengan Ayah, Tapi Beliau Sudah Tiada”
UltraSukan
UltraSukan
MLB Tigers

Pemain Lawn Bowls Selangor, Amirul Danial Bin Abdul Rahim terkilan tidak dapat meraikan pingat emas di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak bersama ayahnya.

Amirul Danial ditemui setelah menjuarai Malaysia Lawn Bowls (MLB) Tigers pada Ahad lalu dengan mewakili Emerald Ace A bersama Haikal Roslan setelah menewaskan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau ternyata gembira bukan sahaja berjaya membawa pulang gelaran juara bahkan berhasil merealisasikan impian sang ayah untuk melihat mereka bergandingan bersama.

”Kemenangan ini adalah untuk ayah kami sebab kedua-dua ayah kami mahu kami beraksi berpasangan dari kecil lagi,” kata Amirul Danial ketika ditemu bual di Nadi Arena.

”Alhamdulillah, sekarang ini baru tercapai hasrat untuk bergandingan bersama di MLB Tigers,” tambah beliau lagi.

Menyingkap perjalanan awal karier Amirul Danial dalam Lawn Bowls, beliau berkata arwah ayahnya merupakan figura yang menarik minat beliau untuk menceburi sukan ini.

”Jadi, saya mula bermain ketika berusia lapan tahun dan yang melatih saya adalah arwah ayah saya apabila beliau memanggil saya untuk bermain bersama,” ujarnya.

Katanya, sepanjang empat penyertaan dalam SUKMA sejak 2016, beliau telah merangkul 4 pingat secara keseluruhan buat kontinjen Selangor termasuklah pingat emas di Sarawak lalu.

”Saya mula menyertai SUKMA pada 2016 di Sarawak namun ketika itu saya tidak mendapatkan pingat dan 2018 di Perak, arwah ayah saya juga bawa, alhamdulillah saya dapat pingat perak dan gangsa.”

”Sepatutnya 2020 di Johor namun disebabkan pandemik Corona Virus, jadi dianjak ke 2022 di Kuala Lumpur dan saya dapat pingat perak.”

Walau bagaimanapun, kejayaan di Sarawak pada Ogos lalu dikecapi tanpa sosok ayahnya di sisi dan bersyukur mampu membuktikan kemampuan beliau dengan muncul juara bagi kategori perseorangan lelaki.

“SUKMA terakhir saya di Sarawak 2024 lalu tetapi saya agak ralat sebab dengan kejayaan saya (merangkul pingat emas) arwah ayah saya tak dapat tengok.”

“Walaupun arwah ayah dah tiada, saya dah buktikan pingat emas adalah untuk ayah,” katanya kepada hos Nadi Arena, Suzana Basri dan Haliza Hamzah.

Related Articles