Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor berkongsi perancangan pasukan bagi musim hadapan.
Skuad Harimau Selatan mengharungi musim cemerlang selepas muncul juara Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super.
Anak buah Hector Bidoglio juga kini berada di final Piala Malaysia 2025 sekali gus berpeluang untuk menyapu bersih semua kejuaraan domestik musim ini.
Baginda menjawab berkenaan perancangan pasukan untuk mendapatkan pemain warisan baharu sambil menunggu waktu yang sesuai untuk mengumumkannya.
“Semua itu sememangnya berada dalam perancangan (pemain warisan baharu), tetapi kita perlu tunggu sehingga Piala Malaysia habis.
“Saingan Liga Super pun masih berjalan, final Piala Malaysia 2025 pun belum berlangsung. Bagi menjaga sensitiviti bilik persalinan, perancangan sudah ada etapi saya tidak boleh kongsi lebih banyak butiran,” ujarnya kepada Johor Southern Tigers.
JDT juga dikhabarkan bakal ke Sepanyol bagi tahun kedua untuk menjalani aksi pra-musim di sana.
“Aksi pra-musim kali ini, JDT akan ke Sepanyol sekali lagi. Kita juga melihat perlawanan berkualiti yang bakal diperoleh di sana selain pssukan dari England, Jerman dan Itali turut ke sana (Sepanyol), tambahnya.
DYAM Tunku Ismail juga yakin bahawa skuad Harimau Selatan akan memperoleh perlawanan bertahap tinggi di Sepanyol sekali gus memantapkan persediaan pasukan.