Jika musim-musim sebelum ini, bekas pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Subkhiddin Mohd Salleh kerap memberikan komen apabila ditanyakan tentang keputusan-keputusan yang dibuat pengadil di Liga Malaysia. Namun bagi musim 2023 yang sudah bermula, beliau dilihat mengambil pendekatan untuk tidak memberi komen.
Walaupun mutu pengadilan dalam Liga Malaysia kerap dikritik sejak kebelakangan ini, Subkhiddin punyai sebab tersendiri mengapa beliau tidak mahu memberikan penjelasan mengenai keputusan-keputusan pengadil.
Baru-baru ini, Subkhiddin telah ditanyakan oleh pemilik akaun twitter, Tora Bola mengenai keputusan pengadil yang tidak memberikan sepakan penalti dalam perlawanan yang melibatkan Sabah FC dan Sri Pahang FC tempoh hari.
Subkhiddin dengan tenang menjawab bahawa beliau kini tidak lagi dibenarkan untuk menyinggung isu-isu yang berkaitan Liga Malaysia. Subkhiddin menghormati permintaan tersebut dan enggan memberikan komen lanjut mengenai insiden tersebut.
“Saya sekali lagi mohon maaf. Ramai bertanya berkenaan isu ini dan saya cuma dapat maklumkan bahawa saya tidak dibenarkan untuk ‘singgung’ isu terkait Liga M (Liga Malaysia). Saya hormati permintaan ‘mereka’. Harap maklum dan sekali lagi saya mohon maaf,” luah Subkhiddin.
Keputusan pengadil adalah muktamad namun ada saluran yang betul untuk menyuarakan ketidakpuasan hati di atas mutu pengadilan. Subkhiddin sudah tentu sudah masak dengan dunia bola sepak dan tindakan beliau untuk tidak memberikan komen terhadap keputusan pengadil pasti sudah difikirkan sedalam-dalamnya.