“Saya Tak Menyesal” – Thomas Tuchel
MakanBola
England FT

Jurulatih England, Thomas Tuchel mempertahankan keputusan taktikalnya selepas pasukan itu tersingkir daripada Piala Dunia 2026 apabila tewas 2-1 kepada Argentina dalam aksi separuh akhir yang menyaksikan kelebihan 1-0 dilepaskan pada penghujung permainan, BBC melaporkan.

“Jika kamu bertanya sama ada saya menyesal dengan keputusan saya, jawapannya tidak. Saya merasakan momentum berubah dalam perlawanan dan saya cuba membantu pasukan,” kata Tuchel dalam ciapan X Sky Sport News.

Tuchel menjelaskan setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan pengalaman serta kepercayaannya untuk membantu pasukan mendapatkan keputusan terbaik, sambil menerima tanggungjawab sebagai ketua jurulatih.

“Saya membuat beberapa keputusan berdasarkan naluri, intuisi, pengalaman dan sifat kompetitif saya. Kami tidak mendapat keputusan itu, jadi saya bertanggungjawab terhadap keputusan tersebut,” ujar pengendali berusia 52 tahun itu.

Mengulas perubahan permainan selepas England menjaringkan gol, Tuchel mengakui pasukannya menjadi terlalu pasif ketika Argentina mula meningkatkan tekanan dan mencari ruang di kawasan pertahanan.

“Kami menjadi terlalu pasif. Argentina bermain dengan banyak momentum selepas gol kami. Mereka menemui satu lagi tahap permainan dan mereka berada dalam aliran terbaik mereka,” katanya.

Tuchel turut menjelaskan keputusan menggunakan sistem lima pertahanan dibuat kerana England gagal mengawal ancaman serangan Argentina, terutama hantaran lintang dan larian pemain ke dalam kotak penalti.

“Kami tidak dapat menghentikan hantaran lintang dan kami tidak dapat menghentikan larian pemain ke dalam kotak penalti. Jadi kami memutuskan untuk bermain dengan lima pertahanan,” jelasnya.

Mengenai kritikan terhadap Harry Kane yang banyak turun membantu pertahanan, Tuchel berkata perkara itu berlaku kerana England bertahan secara blok rendah ketika berdepan tekanan lawan.

“Itulah yang kamu lakukan apabila bertahan dalam satu blok. Kami tidak cukup aktif,” katanya.

Tuchel turut mengakui faktor fizikal memberi kesan selepas perlawanan menentang Mexico dan Norway, namun menegaskan motivasi pemainnya tidak pernah berkurangan sepanjang kejohanan.

“Para pemain benar-benar memberikan segala-galanya secara fizikal dalam setiap perlawanan. Jika data menunjukkan penurunan prestasi fizikal, pasti ada sebab di sebaliknya kerana motivasi kami berada pada tahap tertinggi,” tambahnya.

Selepas kekalahan tersebut, Tuchel menyifatkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang menyakitkan tetapi percaya England perlu menggunakan kegagalan itu sebagai motivasi sebelum aksi tempat ketiga menentang Perancis pada awal pagi esok di Stadium Miami.

“Kami yang paling merasai kesakitan ini. Ini adalah parut yang akan kami bawa bersama. Kami akan mengatasinya, kami akan menggunakannya dan kami akan memberikan reaksi,” tegas Tuchel.