Agensi bebas scouting yang berpangkalan di United Kingdom, Talents U-23 menyifatkan pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi sebagai seorang pemain yang cukup berkaliber.
Talents U-23 yang dimiliki oleh seorang penganalisis bola sepak Eropah, Louis Readman, beliau menyenaraikan pemain berusia 20 tahun itu sebagai salah seorang bintang dalam pembikinan di Malaysia.
Readman telah membuat analisis terperinci terhadap kemajuan Arif yang kini menjadi tunjang utama bersama Harimau Selatan.
Berikut merupakan tiga kekuatan Arif Aiman menurut Talents U-23:
- Kawalan bola yang baik.
Arif mempunyai kawalan bola yang amat baik dan mampu melakukan banyak kawalan menerusi sentuhan kecil untuk memastikan bola dekat dengan kakinya menjadikannya sukar untuk dicabar.
2. Kemahiran ‘Dribbling’ yang luar biasa.
Pemain ini gemar berlari melepasi pemain dengan baik kerana keupayaan menggeleceknya pada usia yang begitu muda dan boleh menewaskan pemain dengan mudah.
3. Bijak memperdaya pertahanan lawan.
Beliau sangat pantas dan boleh berlari melepasi pemain pertahanan tanpa gangguan dan kemudian berpatah balik ke belakang menyebabkan mereka ketinggalan dan tidak mampu mengawalnya.
Arif bagaimanapun dilihat masih perlu memperbaiki beberapa aspek antaranya ialah beliau perlu berusaha bermain bola di belakang.
Beliau disifatkan mempunyai rentak untuk mengambil pemain pertahanan tetapi bukan otak bola sepak untuk bermain bola bermula dari belakang.
Sebelum ini, RD Football Scout yang memiliki lebih 40,000 pengikut di Twitter menyifatkan Arif Aiman beraksi di posisi RWB dengan sempurna dan beliau melengkapi 4 ciri yang diperlukan pada posisi berkenaan.
Pada musim ini, pemenang Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) dua kali ini sudah pun menjaringkan 5 gol dan mencatat 5 bantuan gol selepas 8 perlawanan.