Selepas Arab Saudi membatalkan aksi persahabatan menentang Malaysia, skuad negara kini memiliki pilihan alternatif sebagai persiapan Piala Asia 2023 di Qatar.
Perkara ini didedahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dalam sidang media selepas majlis doa selamat sempena Piala Asia 2023 dan Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Beliau menyatakan sebuah kelab Qatar bakal menjadi lawan Harimau Malaya dengan perlawanan bakal berlangsung pada 4 Januari 2024.
Aturan ini dibuat memandangkan skuad negara bakal bertolak awal ke Qatar pada 1 Januari ini.
Selain itu, ini akan membantu jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon menilai keserasian pemain sebelum perlawanan menentang Syria beberapa hari selepas itu.
“Kita baru sahkan kita akan lawan Syria pada 8 Januari (2024) nanti. Tapi lawan Syria itu nanti bukan dalam kalendar FIFA. Kalendar FIFA (hanya setakat 5 Januari 2024).
“Tapi berdasarkan mesyuarat saya dengan Kim Pan-gon, kita akan lawan satu kelab (Qatar) bila kita sampai nanti. Sebab pasukan akan bertolak awal pada pagi 1 Januari.
“Kalau kita dapat lawan satu kelab pada 4 Januari nanti, itu sudah bagus. Tapi Coach Kim Pan-gon kata satu perlawanan pada 8 Januari pun sudah cukup untuk beliau menukar pemain pada 8 Januari.
“Tapi lawan dengan satu lagi kelab lagi bagus sebab beliau pun risau (faktor) kecederaan,” katanya.
Setakat artikel ini ditulis, identiti kelab Qatar yang bakal menjadi lawan skuad negara masih belum diketahui.
Malaysia bakal membawa skuad 26 pemain terbaik termasuk pemain naturalisasi terbaru negara, Romel Morales.
Harimau Malaya bakal membuka tirai kempen Kumpulan E dengan menentang Jordan pada awal pagi 16 Januari 2024 di Stadium Al-Janoub, Al-Wakrah, Qatar.