Kelab Liga Super, Selangor FC mula menjadi perhatian dan bualan orang Eropah selepas satu sesi pengenalan pemain yang mengagumkan.
Semuanya bermula apabila The Red Giants mengumumkan ketibaan pemain tengah berbakat, Nooa Laine yang dipinjam dari kelab Finland, SJK Seinajoki.
Pemain berusia 22 tahun itu tiba ke Liga Malaysia secara pinjaman selama semusim dan berpeluang untuk dibeli secara kekal.
Video pengenalan unik itu telah menarik perhatian salah sebuah laman terkemuka Eropah, Copa90 yang turut mengulang ciap video yang dimuat naik oleh Selangor FC.
Katanya, video pengenalan tersebut memiliki ciri keunikan tersendiri dan memiliki aura seperti ‘I Am Playr’ sekaligus menerima reaksi dari seluruh dunia.
Video itu menjadi lebih menarik tatkala Selangor mengekalkan ciri nasionalisme seperti menggunakan kereta tempatan iaitu Proton kelihatan cukup menarik perhatian.
Rata-rata peminat memuji inisiatif baharu daripada kelab Lembah Klang ini tatkala Nooa Laine juga merupakan antara pemain yang dikenali di Liga Finland.
Pujian juga diberikan terhadap pasukan media Selangor FC yang bekerja keras untuk menghasilkan video pengenalan buat pemain tersebut.
Sebelum ini, The Red Giants telah mengumumkan ketibaan beberapa bintang utama import yang memiliki reputasi besar untuk beraksi di Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) tahun ini.
Umarbek Eshmurodov, Ronnie Fernandez dan juga Alvin Fortes antara watak yang menjadi tumpuan musim ini.