Selangor & JDT Bertemu Dua Kali Kurang 24 Jam
MakanBola
Johor Southern Tigers

Aksi Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor berlangsung dua kali dalam tempoh 24 jam tidak lama lagi.

Saingan Liga Super minggu ke-14 menyaksikan pertemuan antara Selangor vs JDT akan mencuri perhatian penyokong bola sepak tempatan yang dijangka bakal menarik puluhan ribu penonton.

JDT pastinya hadir ke Kelana Jaya dengan misi penting bagi meneruskan rentak cemerlang apabila telah merekodkan 13 kemenangan berturut-turut di pentas Liga Super setakat ini.

Sementara, tentangan sengit sudah tentunya akan diberikan oleh Selangor yang ketika ini turut berada dalam momentum terbaik selepas mengharungi 7 perlawanan tanpa kekalahan.

Jangkaan peminat boleh dikatakan cukup tinggi bagi aksi yang akan dilangsungkan di Stadium MBPJ pada Ahad ini tatkala kedua-dua pasukan sedang bersaing di kelompok atasan liga.

Walau bagaimanapun, ramai tidak sedar Selangor dan JDT bakal bertemu sekali lagi keesokan harinya dalam saingan Liga A1 Semi Pro melibatkan pasukan feeder masing-masing.

Jadual Liga A1 Semi Pro menyaksikan aksi antara Selangor II vs JDT II akan diadakan di Stadium MP Sepang pada Isnin, 5 Januari jam 4.45 petang, kurang 24 jam selepas pertemuan di Liga Super.

Senario berbeza pula dalam saingan Liga A1 Semi Pro apabila Selangor II pula ketika ini menerajui takhta dengan meraih 36 mata, sementara JDT II di tangga ke-3 ketinggalan 6 mata di belakang.