Selangor FC tampil menjelaskan status terkini permohonan mereka kepada Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) susulan keputusan hukuman yang dikenakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan rasmi Selangor FC pada lewat malam Selasa selepas permohonan penangguhan hukuman kelab itu telah ditolak oleh Mahkamah Timbang Tara pada hari yang sama
Sebelum ini, Jawatankuasa Tatatertib FAM menjatuhkan hukuman terhadap Selangor FC susulan insiden yang berlaku ketika aksi suku akhir Piala FA 2025/2026 menentang Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ pada 20 Oktober 2025.
Hukuman tersebut menyaksikan Selangor FC diarahkan beraksi tanpa penonton bagi dua perlawanan Piala FA seterusnya selain dikenakan denda sebanyak RM100,000.
Keputusan berkenaan kemudiannya dikekalkan oleh Jawatankuasa Rayuan FAM sebelum Selangor FC mengambil tindakan untuk memfailkan permohonan kepada AIAC di Kuala Lumpur.
Menurut Selangor FC, tindakan tersebut dibuat selaras dengan Artikel 77 dan Artikel 129 Kod Tatatertib FAM yang mengiktiraf AIAC sebagai mahkamah timbang tara bebas yang sah.
Kelab itu turut menjelaskan bahawa proses permohonan tersebut masih dalam perbicaraan di AIAC dan sebarang perkembangan mengenai kes berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu, Selangor FC menegaskan komitmen untuk terus melindungi kepentingan semua pemegang taruh kelab sepanjang proses berkenaan berlangsung.
Selangor FC juga mengakui perlawanan timbal balik Piala FA 2026/2027 menentang Sabah FC akan berlangsung secara tertutup tanpa kehadiran penyokong, namun percaya sokongan #GergasiMerah akan terus mengiringi pasukan dalam aksi tersebut.
Pihak kelab turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh penyokong atas sokongan yang tidak berbelah bahagi serta berterusan kepada pasukan.