Selangor FC mengecam tindakan individu yang tidak bertanggungjawab memecah masuk rumah pemain pertahanan mereka, Khuzaimi Piee.
Arena bola sepak negara kembali kecoh apabila rumah bekas bek tengah Negeri Sembilan FC itu menjadi mangsa jenayah pecah rumah kelmarin.
Insiden itu disedari Khuzaimi apabila pulang ke rumah selepas selesai menjalani latihan bersama Merah Kuning. Insiden ini bukan saja menyebabkan beliau kehilangan motosikal Yamaha Y15, empat beg silang berlainan jenama dan pasport.
Malah, pemain pertahanan berusia 30 tahun itu turut merasa bimbang dengan tahap keselamatan keluarganya.
Susulan itu, pengurusan Selangor menyatakan rasa simpati terhadap apa yang berlaku dan memberi sokongan kepada Khuzaimi.
Pengurusan Merah Kuning turut mengecam sekeras-kerasnya sebarang insiden jenayah membabitkan semua pemain bola sepak. Mereka berharap pelaku jenayah tersebut dapat ditangkap dan diheret ke muka pengadilan.
“Pihak kelab mengambil maklum berkenaan insiden pecah rumah yang melibatkan pemain pertahanan, Ahmad Khuzaimi Piee, malam semalam.
“Insiden ini telah menyebabkan Khuzaimi mengalami kerugian harta benda namun beliau dan keluarga selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.
“Berikutan insiden tersebut, laporan polis telah dibuat dan pihak kelab menyarankan agar orang ramai untuk tidak membuat andaian dan sebarang spekulasi serta menyerahkan kes ini sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan sebaiknya.
“Pihak kelab merasa kecewa dengan apa yang berlaku dan mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk jenayah di dalam negara ini.
“Kami mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Khuzaimi dan keluarganya dan diharap pelaku dapat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Kejadian yang menimpa Khuzaimi merupakan insiden jenayah terbaru membabitkan pemain bola sepak kebangsaan.
Sebelum ini, arena bola sepak negara dikejutkan dengan insiden Akhyar Rashid disamun, insiden simbahan asid yang menimpa Faisal Halim dan cermin kereta Safiq Rahim dipecahkan.