Selepas berjaya layak ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) pada musim hadapan, ramai penyokong Selangor ingin tahu di mana pasukan itu akan bermain pada musim depan.
Persoalan ini timbul kerana ramai penyokong bimbang Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan dilabel tidak sesuai dijadikan sebagai gelanggang rasmi Merah Kuning untuk ACL2.
Jika situasi ini berlaku, ini akan memaksa pengurusan Merah Kuning mencari stadium lain sebagai stadium alternatif untuk kejohanan itu.
Persoalan itu akhirnya terjawab hari ini menerusi kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon.
Menerusi satu ciapan yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, Dr Johan mengesahkan Stadium MBPJ akan terus kekal menjadi gelanggang Selangor FC untuk Liga Malaysia (Liga M) dan ACL2.
Malah, stadium tersebut akan menjalani proses penaiktarafan menerusi kerjasama antara MBPJ dan pengurusan Selangor.
Penaiktarafan ini bukan saja memastikan Stadium MBPJ memenuhi semua keperluan untuk ACL2. Malah, ini akan menjadikan stadium tersebut bagus dan selesa untuk semua pemegang taruh.
Selangor berjaya mara ke ACL2 selepas meraih kedudukan naib juara Liga Super musim 2023.