Asia

Selangor ‘Pintas’ 3 Gergasi Arab Saudi Di Asia

Safuwan Selangor Kuching Selangor ‘Pintas’ 3 Gergasi Arab Saudi Di Asia
Selangor FC
Advertisements

Jaguh Malaysia, Selangor FC terus membuktikan kedudukannya sebagai antara kelab terbaik Asia Tenggara selepas berjaya memintas kedudukan tiga kelab Arab Saudi.

Selangor berada pada momentum cemerlang secara keseluruhan musim ini selepas mengekalkan rekod tanpa kalah pada saingan Liga Super 26-27. Mereka juga berjaya melangkah ke pentas separuh akhir Piala FA dan kini selangkah ke pentas akhir.

Opta Power Rankings menilai lebih 13,500 kelab lelaki di seluruh dunia pada skala 0 hingga 100 menggunakan sistem berasaskan Elo, yang mengambil kira keputusan perlawanan, kekuatan lawan dan expected goals (xG). Semua kelab dinilai pada skala yang sama, pasukan dari liga berbeza boleh dibandingkan secara terus, termasuk Selangor dengan kelab dari Arab Saudi.

Gergasi Merah Kuning kini menghuni tangga ke-6 ASEAN dan ke-1,353 dunia menerusi ranking di Opta Analyst terkini dengan rating 71.0 mata. Kedudukan itu berdasarkan senarai 25 kelab terbaik ASEAN yang dilaporkan pada 22 Oktober 2026.

Pada peringkat domestik, Selangor kekal kelab kedua terbaik Malaysia di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT), yang mendahului ASEAN dengan 80.6 mata dan berada di tangga ke-318 dunia. Jurang antara kedua-dua pasukan kini 1,035 anak tangga, lebih lebar berbanding pertengahan 2025 apabila Opta mencatatkan Selangor 878 anak tangga di belakang JDT.

Dalam senarai 10 terbaik ASEAN, JDT menduduki tangga teratas diikuti Buriram United (74.6, ke-847 dunia), Persib Bandung (74.2, ke-905), Cong An Ha Noi (73.6, ke-990) dan Port FC (71.1, ke-1,337). Selepas Selangor di tangga keenam, tempat ketujuh hingga ke-10 diisi Persija Jakarta (70.2), Lion City Sailors (70.0), Borneo FC Samarinda (70.0) dan Ratchaburi FC (69.5).

Persaingan di bahagian tengah senarai amat sengit. Selangor hanya 0.1 mata di belakang Port FC, manakala kedudukan ke-5 hingga ke-9 dipisahkan sekadar 1.1 mata, bermakna satu atau dua keputusan besar mampu mengubah kedudukan dengan pantas.

Pada pentas Asia, Selangor berada di atas tiga kelab yang tersingkir dari Liga Pro Saudi 2025/26, iaitu Damac, Al-Okhdood dan Al Najma. Damac kini berada di tangga ke-2210 dunia dengan 66.3 mata, Al-Okhdood di tangga ke-3088 manakala Al-Najma di tangga ke-2108 dunia dengan 66.7 mata.

Ini bukan kali pertama Selangor mengatasi kelab Saudi dalam ranking Opta. Pada Oktober 2024, Selangor pernah berada di tangga ke-105 Asia (ke-1,104 dunia, 70.9 mata), setangga di atas Al-Fateh yang beraksi dalam Liga Pro Saudi.

Dari segi penyertaan di Asia, Selangor beraksi dalam AFC Champions League Two (ACL2) dua musim berturut-turut, menamatkan peringkat kumpulan di tempat ketiga pada 2024/25 dan tempat keempat Kumpulan G pada 2025/26. Mereka juga mara ke final Kejohanan Kelab ASEAN (Shopee Cup) 2025/26 sebelum tewas 1-3 agregat kepada Buriram United.