Advertisements
“Selangor Tidak Sempat Tukar Rumput” – Johan Kamal
Liga Super
MakanBola
Selangor FC

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal mengesahkan bahawa Selangor tidak akan menukar padang bagi musim 2024/25.

Beliau yang ditemui ketika sesi sidang media bersama Yoodoo di Pusat Latihan Selangor FC memberitahu bahawa pihaknya sudah melakukan perbincangan mengenai perkara ini.

Sungguhpun usaha baik ini dihargai olehnya, Johan mengakui bahawa terdapat beberapa kekangan yang bakal dihadapi sekiranya kerja-kerja penukaran rumput dijalankan bermula Januari.

Hal ini termasuklah tempoh masa yang diperlukan untuk rumput itu matang menyebabkan The Red Giants mengambil keputusan untuk tidak menukar rumput.

“Kami (Selangor) sebenarnya berfikir panjang mengenai tawaran yang diberikan oleh KBS dan TMJ berkenaan penukaran padang.”

“Akan tetapi, kami akan memfokuskan terhadap penukaran sistem saliran (drainage) kerana itu amat penting. Hal ini disebabkan timeline (masa) yang kami rasakan tidak mencukupi.”

“Penukaran rumput juga memakan masa 6-8 bulan. Seperti yang kita lihat di Bukit Jalil, apabila padang itu sudah bersedia untuk digunakan, lebih banyak lagi masalah yang timbul.”

“Memandangkan sekarang sudah bulan Januari, saya merasakan masa untuk membuat penukaran rumput itu tidak sempat,” ujarnya ketika ditemui di Pusat Latihan Selangor FC.

Ketika ini, kerja-kerja untuk menjalankan penukaran rumput juga sukar dijalankan memandangkan musim hujan sekaligus menyukarkan proses tersebut dilakukan.

Dr. Johan juga yakin sekiranya sudah bermula, pasukan sudah tidak mempunyai masa untuk menjalankan kerja-kerja penukaran rumput.

Namun begitu, The Red Giants akan menyambut baik tawaran penukaran saliran kerana ia merupakan komponen yang penting untuk memastikan permukaan padang berada dalam keadaan baik.

“Sekiranya padang berada dalam keadaan baik, ini dapat mengelakkan para pemain mengalami kecederaan.”

Selangor bagaimanapun akan melakukan kerja-kerja penambahbaikan fasiliti di Stadium MBPJ bagi saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).