Piala Malaysia: Selangor Tumbang Di Gelanggang Sendiri Dibaham Terengganu
Dunia
unifi
Advertisements

Perlawanan Piala Malaysia menemukan Selangor FC selaku tuan rumah melayan kunjungan Terengganu FC dalam aksi terakhir kumpulan B. Terengganu selaku pasukan pelawat berjaya menewaskan Selangor dengan jaringan 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium MBPJ sebentar tadi.

Pasukan Terengganu dilihat kerap melakukan asakan dalam tempoh 5 minit pertama yang membuatkan benteng Selangor terpaksa bekerja keras untuk menghalang setiap gerakan.

Selangor hampir mendahului pada minit ke-9 melalui Nik Sharif namun rembatannya ditepis oleh Suhaimi Husin di gawang Terengganu.

Advertisements

Pasukan pelawat Terengganu akhirnya berjaya menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-15 selepas Faisal Halim merembat deras bola muntah hasil tepisan Khairul Azhan. Segalanya bermula dari Faisal sendiri yang memulakan serangan pantas dari bahagian bawah.

Nik Sharif hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-22 namun rembatannya dari luar kotak penalti diselamatkan penjaga gol Terengganu.

Tekanan tinggi pemain Terengganu apabila pemain Selangor mendapat bola, ternyata menyukarkan setiap gerak serangan Selangor.

Advertisements

Pasukan Terengganu hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-28 namun rembatan deras Dechi Marcel di dalam kotak penalti berjaya diselamatkan Khairul Azhan.

Jordan Mintah hampir menjaringkan gol pada minit ke-44 melalui sepakan percuma namun rembatan leretnya sedikit tersasar.

Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan Terengganu mendahului Selangor 1-0.

Advertisements

Bersambung babak kedua, Selangor pantas melakukan serangan dan Shahrel Fikri yang baru dibawa masuk hampir menyamakan kedudukan namun rembatannya menggegar palang gol.

Shahrel Fikri sekali lagi melakukan percubaan menarik pada minit ke-54 melalui sepakan percuma namun berjaya dinafikan oleh Suhaimi Husin.

Pada minit ke-58, Jordan Mintah berjaya melakukan satu rembatan deras namun sedikit tersasar di kanan gawang Selangor.

Advertisements

Pada minit ke-71, Terengganu dihadiahkan sepakan percuma selepas Sharin Sapien dijatuhkan oleh K.Sarkunan. Jordan Mintah yang mengambil sepakan itu berjaya menewaskan Khairul Azhan untuk gol kedua Terengganu menjadikan kedudukan memihak Terengganu 2-0.

Alex Agyarkwa hampir merapatkan kedudukan pada minit ke-77 hasil rembatan jarak dekat namun Suhaimi Husin sekali lagi berjaya mempamerkan aksi cemerlang untuk menggagalkan percubaan tersebut.

Selangor akhirnya berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-83 selepas Shahrel Fikri menyempurnakan hantaran cantik dari Nor Hakim Hassan melalui terpaan mudah. Selangor merapatkan kedudukan menjadi 1-2.

Ketika perlawanan hampir tamat, Jordan Mintah sekali lagi berjaya menjaringkan gol juga melalui sepakan percuma yang sangat menarik. Khairul Azhan tidak mampu untuk menepis bola tersebut yang sangat deras menerjah jaring. Kedudukan menjadi 3-1 memihak Terengganu.

Serangan bertali arus dilancarkan kedua-dua pasukan namun perlawanan ditamatkan dengan Terengganu berjaya menewaskan Selangor 3-1 dan terus berada di takhta kumpulan B Piala Malaysia manakala Selangor kekal berada di tangga kedua.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram