Bekas pemain Selangor, Zainal Abidin Hassan mengakui bahawa seluruh penyokong bola sepak terkejut dengan kekalahan Selangor menentang PDRM tempoh hari.
Beliau merasakan rentetan kemenangan yang diperoleh Selangor seharusnya menjadi motivasi terbaik buat pasukan untuk membenam The Kops.
Keadaan menjadi sebaliknya apabila anak didik Tan Cheng Hoe menampilkan aksi yang kurang memberangsangkan sekaligus ditundukkan oleh lawan.
Zainal yakin keputusan perlawanan tersebut telah menyebabkan seluruh penyokong bola sepak tidak dapat menerima apa yang sedang mereka saksikan.
“Tidak dinafikan seluruh keluarga bola sepak terkejut dengan kekalahan Selangor kepada PDRM. Akan tetapi sebagai jurulatih dan pemain Selangor, mereka tahu padahnya apabila mereka lalai,” jelasnya kepada Astro Arena.
Jurulatih berusia 60 tahun itu menganggap keinginan yang tinggi pasukan Selangor untuk menewaskan PDRM terhalang dengan kerja keras pasukan lawan.
“PDRM bukanlah satu pasukan yang mudah tetapi mereka telah berusaha dan telah menewaskan beberapa pasukan seperti Kedah.”
PDRM sememangnya sering hadir dengan kejutan buat pasukan yang ingin merebut kedudukan 4 terbaik sambil terus menapak dalam saingan Liga Super.
The Red Giants kini menghuni tangga kedua Liga Super dengan 31 mata selepas 14 perlawanan manakala anak didik Azzmi Aziz berada di tangga ke-8 dengan 19 mata.