Semangat Kesukanan Bekas Penyerang JDT Jadi Bualan Peminat
MakanBola
Seleccion Espanola

Nama bekas penyerang import Johor Darul Ta’zim (JDT), Daniel Guiza kembali menjadi bualan peminat bola sepak.

Ini kerana penyerang berusia 44 tahun itu memilih tidak menjaringkan gol selepas menyedari penjaga gol lawan mengalami kecederaan.

Guiza turut memberi isyarat kepada pengadil tentang kecederaan yang dialami pemain lawan. Sebaik menyedari situasi itu, pengadil menghentikan perlawanan seketika bagi membolehkan penjaga gol tersebut menerima rawatan.

Tindakan Guiza mendapat tepukan gemuruh daripada penyokong yang menghadiri aksi kelabnya, Juventud Sanluquena dan CD Canela baru-baru ini.

Sebaik video insiden berkenaan dimuat naik pengendali liga, LaLiga Hypermotion di media sosial, ramai peminat memuji tindakan bekas penyerang Fenerbahce itu.

Bagi seorang pengguna bernama The Trending Times, ini menunjukkan Guiza memiliki semangat kesukanan yang tinggi dan menghormati pihak lawan.

“Ini satu detik penuh kelas daripada Daniel Guiza yang menunjukkan semangat kesukanan dan rasa hormat kepada bola sepak dan pihak lawan,” katanya di X.

Pandangan itu turut dipersetujui seorang lagi pengguna X bernama Muhammad Tariq. Bila Guiza berbuat demikian, beliau mengingatkan semua orang bahawa bola sepak berkisar tentang rasa hormat.

“Pertama sekali, bola sepak berkisar tentang rasa hormat,” katanya.

Selain Fenerbahce dan JDT, Guiza pernah beraksi untuk Real Mallorca, Xerez, Cerro Porteno, Getafe dan Cadiz.

Semasa bersama JDT, beliau menyumbat enam gol dalam 10 perlawanan pada 2013. Guiza juga pernah menjulang EURO 2008 bersama Sepanyol.