Bekas import Johor Darul Ta’zim (JDT), Jorge Pereyra Diaz mempamerkan aksi yang cukup luar biasa dalam saingan Liga Super India musim ini.
Pemain kelahiran Argentina ini sudah dua musim berkelana di India apabila sebelum ini beraksi buat Kerala Blasters.
Walau bagaimanapun, beliau tidak berupaya mencipta sesuatu apabila mereka menamatkan saingan India Super League dikedudukan ke-2 tercorot dengan hanya merekodkan dua kemenangan.
Diaz tetap berjaya meledak 8 gol ketika beraksi buat pasukan tersebut.
Sejak menyertai pasukan barunya iaitu Mumbai City, prestasi pemain berusia 31 tahun ini makin menjadi-jadi sekaligus menyaksikan pasukannya kini gah di persada liga.
Mumbai City juga mengekalkan rekod cemerlang apabila masih tidak mencatatkan sebarang kekalahan setelah mengharungi 15 aksi liga.
Malah, beliau yang pernah menjadi fenomena di JDT ini telah menjaringkan 9 gol sekaligus menduduki tangga teratas penjaring terbanyak liga bersama pemain East Bengal, Cleiton Silva.
Ketika ini, Mumbai City mendahului saingan dengan 39 mata selepas mencatatkan 12 kemenangan dan 3 seri.